I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 27 Julai 2010

13 RAHSIA PELAJAR CEMERLANG

1. MATLAMAT ATAU SASARAN

Pelajar berjaya mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas. Mereka tahu apa tujuan mereka belajar. Mereka tahu berapa 'O' dan 'A' yang mereka mahukan ataupun berapa peratus markah setiap subjek yang mereka mahukan. Mereka juga tahu hendak mengambil jurusan apa semasa di universiti, mahukan kerjaya yang bagaimana dan sebagainya.

2. PERCAYA

Pelajar cemerlang percaya mereka dapat cemerlang. Hanya faktor masa sahaja yang dapat membuktikan semua usahanya.Mereka tidak pernah ragu-ragu dengan kemampuan mereka bagi melakukan apa sahaja dan sanggup berkorban bagi berjaya.

3. TUMPUAN

Pelajar berjaya memberikan tumpuan pada setiap perkara yang mereka lakukan. Mereka juga tahu kepentingan memberi tumpuan dalam kelas dan cara hendak memberikan tumpuan itu. Mereka juga memberikan tumpuan semasa melakukan ulang kaji.

4. PERANCANGAN

Pelajar berjaya mempunyai perancangan belajar yang teratur dan tahu memanfaatkan masa sebaik-baiknya. Mereka juga tahu menilai masa dan cara bagi menghargainya. Mereka mempunyai jadual yang berkesan yang membolehkan mereka memantau kemajuan tahap penguasaan pelajaran mereka.

5. STRATEGI BELAJAR

Pelajar berjaya kerana mereka mempunyai strategi belajar yang berkesan serta teknik belajar yang mantap. Mereka mengamalkan pelbagai teknik belajar seperti teknik mengingat dan teknik mengambil nota yang baik. Di samping itu, mereka juga belajar secara berkumpulan.

6. MENJAGA MASA

Pelajar berjaya tidak membiarkan masanya berlalu begitu sahaja. Mereka mempunyai jadual harian dan jadual belajar. Jadual harian ialah jadual yang digunakan bagi merancang aktiviti seperti sekolah,tuisyen, ulang kaji, riadah, rehat, tidur, berkwan dan sebagainya. Jadual belajar pula ialah jadual yang digunakan bagi merancang pembelajaran anda. Subjek apa yang mahu dipelajari ? Berapa lama belajar ? dan sebagainya.

7. PERGAULAN

Pelajar berjaya berbaik-baik dengan semua orang. Tetapi mempunyai hanya beberapa orang rakan karib yang berkongsi matlamat yang sama dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

8. PEMANTAUAN

Pelajar berjaya sentiasa memantau prestasi akademik mereka dan membuat post-mortem bagi memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Mereka juga tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali ada perkara yang kurang jelas atau pun tidak difahami. Mereka selesaikan setiap masalah, persoalan dan perkara yang tidak difahami itu dengan serta merta.

9. HUBUNGAN BAIK DENGAN GURU

Pelajar berjaya rapat dengan guru-guru dan sentiasa tidak segan untuk bertemu dengan mereka bagi mendapatkan bantuan. Mereka tahu apa yang mahu ditanya dan cara memanfaatkan khidmat guru-guru yang ada. Namun begitu, mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada guru.

10. KONSISTEN ATAU ISTIQAMAH

Pelajar berjaya adalah mereka yang bukannya rajin hari ini tetapi malas esoknya. Perasaan rajin dan malasnya naik turun umpama roda. Sebaliknya pelajar berjaya adalah mereka yang konsisten atau istiqamah dalam belajar. Buat sedikit tetapi berterusan. Mereka meletakkan sasaran tertentu. Misalnya mahu menghabiskan 10 muka surat setiap hari ataupun menjawab 50 soalan setiap hari.

11. PERSISTENT

Pelajar cemerlang tidak mudah berputus asa dan berpuas hati selagi tidak dapat menyelesaikan masalah ataupun soalan yang susah serta mencabar minda. Mereka berusaha mendapatkan jawapannya sama ada dengan bertanya pada guru, merujuk pada kawan, membaca buku-buku tambahan dan sebagainya.

12. SANGGUP BERKORBAN

Remaja mana tidak sukakan hiburan dan keseronokan. Tetapi pelajar cemerlang dapat mengekang persaan mereka daripada berhibur dan berseronok secara melampau sehingga menjejaskan pelajaran. Mereka sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan perasaan. Mereka belajar lebih lama berbanding pelajar lain, lebih gigih, bersungguh-sungguh, sanggup membelanjakan wang yang banyak bagi tuisyen dan membeli buku-buku tambahan serta tidak terlibat dengan cinta monyet yang melalikan.

13. AGAMA NOMBOR SATU

Bagi pelajar beragama Islam, mereka faham hakikat hidup ini sebagai suatu ibadah. Mereka juga sedar kepentingannya meminta guru menghalalkan setiap ilmu serta memohon restu guru dan ibu bapa supaya pelajaran yang diperoleh itu mendapat keberkatan. Mereka juga menitikberatkan ibadah harian dan sentiasa berdoa supaya hidup mereka berada dalam rahmat Tuhan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan